Monday, November 9, 2009

Website Jebat Clan!


Mandalorian Mercs Jebat Clan kini mempunyai laman webnya tersendiri. Sila layari mandalorianmercsmalaysia.com untuk maklumat lanjut.

Thursday, November 5, 2009

Apakah itu cosplay?

Apakah itu cosplay? Apa pula kaitannya dengan costuming? Mengapa aktiviti ini dijalankan? Apa kata kita lihat perkara ini secara soal-jawab dengan artis kostum M.Hanif dan lihat pandangan beliau mengenai aktiviti yang menarik ini.

S: Apakah itu costuming?
M: Costuming atau berkostum ialah satu hobi yang mana penggiat-penggiatnya (costumers) memakai kostum (dan juga personaliti) watak-watak yang diminati. Watak-watak ini mungkin terdiri daripada superhero/supervillain, watak-watak sci-fi dan fantasi, juga watak-watak sejarah dan budaya. Costumers akan memperagaikostum mereka di acara-acara tertentu. Kostum-kostum ini biasanya memerlukan banyak masa dan tenaga dan wang untuk dihasilkan. Penghasilan sesebuah kostum melibatkan banyak kajian, eksperimentasi dan percubaan, tetapi biasanya hasilnya adalah memberangsangkan dan berbaloi dengan usaha yang ditonjolkan.

S: Apakah itu cosplay?
M: Cosplay ialah subset kepada costuming yang menumpukan kepada watak-watak anime, manga dan games Jepun. Dahulunya, cosplay adalah khusus kepada watak-watak Jepun, tetapi kini ianya telah berkembang meliputi watak-watak daripada kisah-kisah Hollywood dan kartun barat. Ahli-ahli cosplay biasanya memakai kostum untuk mengambil bahagian di dalam pertandingan kostum dan ketika konvensyen komik & game, dan juga untuk sesi fotografi. Oleh kerana watak-watak yang dipaparkan adalah daripada animasi dan illustrasi, kostum-kostum cosplay mungkin tidak begitu "detail" jika dibandingkan dengan costuming. Namun begitu, kostum-kostum cosplay yang dibuat dengan teliti tetap mampu menarik perhatian!

S: Kenapa perlu berkostum?
M: Ianya satu aktiviti yang berfaedah. Proses menghasilkan sesebuah kostum merupakan satu proses yang memerlukan kreativiti dan inovasi yang tinggi. Ianya mampu membina kreativiti seseorang dan dapat memberikan kepuasan kepada individu yang terlibat. Sebenarnya, proses ini juga memerlukan pemikiran saintifik untuk menghasilkan sesebuah kostum. Costuming turut melibatkan beberapa elemen di antaranya rekabentuk karakter, ergonomik, catan, arca, kejuruteraan bahan, fizik, kimia, anatomi, seni tampak, lakonan dan juga elektrik dan elektronik. Ianya merupakan satu aktiviti riadah yang komprehensif yang melibatkan sains dan seni, dan turut menjadi satu bentuk seni saintifik (atau sains artistik) yang perlu diketengahkan.

S: Susahnya! Kenapa perlu semua ni?
M: BUnyinya memang sukar, tetapi kalau dah minat, gunung Everest pun sanggup didaki, kan? Sekarang ni kita selalu dikhabarkan tentang kes-kes gejala sosial. Pada pendapat dan pengalaman saya, mereka yang terlibat dalam costuming ni terhindar daripada kes-kes seperti melepak, merempit, berjudi, meminum mimuman keras dan sebagainya. Ini adalah kerana mereka tak ada masa (dan wang) untuk melakukan semua ini. Semua masa dan kewangan mereka akan tertumpu kepada costuming dan kostum mereka. AKtiviti ini juga mampu membina kekeluargaan kerana ianya boleh melibatkan seluruh keluarga. Tapi yang paling penting ialah aktiviti ini kita buat untuk mencapai KESERONOKKAN. Kita hidup di dalam persekitaran yang penuh stress, dan berkostum merupakan salah satu cara untuk kita melegakan stress ini dengan positif. Ia juga merupakan satu cara untuk mendidik remaja untuk berinteraksi dengan sihat dan membantu mereka yang mempunyai isu keyakinan diri.

S: Owh... macam tu... Jadi, apa yang telah saudara lakukan setakat ini?
M: Setakat ini, saya telah mengadakan pameran kostum solo di Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), USM. Sebuah katalog pameran turut dicetak dengan kerjasama MGTF. Pameran ini telah berjaya menarik minat beberapa pihak untuk menerokai costuming. Selain daripada itu, kami (saya dan Ni'Sya) turut mengadakan beberapa sesi "trooping" untuk mendedahkan costuming kepada masyarakat umum. Kami juga telah tersenarai di dalam Malaysia Book of Records sebagai rakyat Malaysia pertama yang diterima sebagai ahli Mandalorian Mercs, sebuah kelab kostum Star Wars antarabangsa. Kelab ini turut diiktiraf oleh Lucasfilm Ltd yang menerbitkan filem-filem Star Wars. Terkini, kami telah dijemput oleh MRSM Balik Pulau untuk mengadakan pameran sempena Pertandingan Tunas Saintis XVIII. Kami ingin mengetengahkan costuming sebagai satu bidang yang bukan sahaja dapat memberikan kepuasan kepada penggiatnya, tetapi turut menyumbang kepada proses kreativiti dan keyakinan diri individu tersebut.

S: Bagaimanakah sambutan masyarakat setakat ini?
M: Costuming merupakan satu bidang yang baru di Malaysia. Ramai yang masih kurang arif mengenai bidang ini, malah ramai yang tak tahu langsung! Jadi, agak sukar untuk kami mempromosikan costuming kepada orang ramai. Kebanyakan orang yang kami temui menyangka bahawa costuming ini adalah untuk mempromosikan teater atau pertunjukan tertentu. Mungkin itu salah satu tujuan kostum digunakan, tetapi ia bukanlah objektif sebenar costuming. Tidak kurang juga yang mengejek dan mengeluarkan kata-kata kesat apabila kami muncul. Sebab itu kami mengambil langkah untuk memperkenalkan costuming melalui sekolah dan institusi pendidikan tinggi (IPT). Harapan kami, apabila sekolah dan IPT mampu menerima costuming, masyarakat akan turut membuka minda dan menerima aktiviti ini seadanya.

Sila ikuti temubual ini di posting yang akan datang. Sekiranya anda ada sebarang komen atau pertanyaan, sila emelkan ke malaysianmandos@gmail.com. Sekian, terima kasih!

Thursday, October 8, 2009

Jebat Clan menggempur Tunas Saintis XVIII



Rabu, 7 Oktober. Jebat Clan menggempur lagi! Kali ini, Pertandingan Tunas Saintis XVIII di MRSM Balik Pulau telah menjadi mangsa. Pertandingan yang melibatkan 148 projek saintis muda ini merupakan acara tahunan bagi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Kali ini, Jebat Clan yang diwakili oleh Ge'tal dan Ni'Sya Gra'tua telah dijemput oleh pihak penganjur untuk mempamerkan kostum dan juga props yang mereka bina.

Pameran ini telah berjaya menarik perhatian para pelajar dan juga guru-guru yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai aktiviti costuming. Jebat Clan telah mendapat penghargaan dan sokongan daripada pengetua MRSM Balik Pulau, Tuan Haji Mohd Sabri Ali. Beliau turut menyarankan supaya sebuah kelab kostum diwujudkan di MRSM Balik Pulau.

Friday, October 2, 2009

Video Mandalorian Mercs Malaysia

video

Video menunjukkan aktiviti Mandalorian Mercs Jebat Clan, Malaysia. Gambar-gambar diambil sejak penubuhan Jebat Clan pada tahun 2008.

Thursday, July 23, 2009

Links untuk membuat beskar'gam

Berikut merupakan beberapa link ke tutorial untuk membina sendiri beskar'gam anda:

Forum Mandalorian Mercs

Forum The Dented Helmet

Templat untuk jetpack Boba Fett (pdf)

Templat untuk helmet, dome dan earcaps Boba Fett (pdf)

Templat untuk gauntlet kanan

Templat untuk gauntlet kiri

Templat untuk body armor (perlu menjadi ahli forum Mandalorian Mercs terlebih dahulu)

Selain daripada itu, anda juga boleh membeli kostum ini di e-bay atau hubungi M.Hanif di mandoarts.mhanif@gmail.com untuk membuat tempahan.

Monday, July 20, 2009

Siapakah Boba Fett?

Boba Fett di dalam Star Wars Ep.IV: A New Hope

Di dalam dunia Star Wars, nama Boba Fett cukup digeruni sebagai bounty hunter atau pemburu upahan yang terbaik di galaksi ini. Sungguhpun taktik yang digunakan oleh beliau seringakali ganas dan kejam, beliau bukanlah seorang yang jahat. Beliau hanya menjalankan tugasnya dengan sebaik mungkin.

Sebenarnya, konsep untuk watak Boba Fett berasal daripada konsep Darth Vader, seperti yang telah dipengaruhi oleh artis konsep Ralph McQuarrie dan disiapkan oleh Joe Johnston, seorang pengarah filem yang ketika itu menjadi artis storyboard untuk George Lucas di Lucasfilm Ltd. Boba Fett asalnya menggunakan armour berwarna putih untuk screentest, tetapi warna ini telah ditukar kepada hijau untuk menunjukkan perbezaan dengan Stormtroopers yang juga berwarna putih dan Darth Vader yang mempunyai pakaian serba hitam. Pakaian beliau juga seolah-olah telah diambil daripada beberapa bahagian armour Mandalorian yang lain, dan memaparkan beberapa trofi.
Konsep-konsep awal untuk Boba Fett

Tiada siapa yang tahu kenapa watak yang hanya muncul kurang daripada lima minit di dalam filem Star Wars ini menjadi begitu popular, tetapi pelakon Jeremy Bulloch dan George Lucas sendiri pernah menyatakan bahawa misteri yang menyelubungi watak ini menyebabkannya menjadi buruan peminat Star Wars.

Boba Fett merupakan watak yang "ganas" tetapi mulia kerana tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur kejahatan. Kesetiaan terhadap kontrak yang ditawarkan menjadi salah satu prinsip beliau. Selain daripada itu, beliau mempunyai daya tahan dan kecekapan yang tinggi, menyebabkan Boba Fett mampu meminta upah yang tinggi untuk sesuatu kontrak.
Watak yang enignatik ini telah menjadi asas kepada wujudnya satu bangsa yang pragmatik, mementingkan nilai-nilai kekeluargaan serta berpegang teguh kepada adat dan bahasa ibunda mereka: MANDALORIAN.
Sumber: Wikipedia

Sunday, July 19, 2009

Sejarah Ringkas Mandalorian


Ramai di antara kita masih kurang mengetahui perihal kaum Mandalorian. Kita mungkin pernah mendengar nama-nama seperti Boba Fett dan Jango Fett, tetapi siapakah mereka sebenarnya? Mandalorian – atau Mando’ade di dalam bahasa ibunda mereka – merupakan satu kaum yang majoritinya terdiri daripada spesies manusia. Mereka merupakan pahlawan nomadik yang sentiasa berpindah-randah. Oleh itu, budaya dan adat resam mereka berdasarkan kehidupan nomad. Mereka biasanya menjadi bounty hunter (pemburu upahan), askar upahan, perisik, pembunuh upahan, pengawal peribadi dan lain-lain pekerjaan yang merbahaya dan tidak mampu atau tidak mahu dilaksanakan oleh spesies atau kaum lain. Namun begitu, terdapat juga Mandalorian yang menjadi peladang, doktor, jurutera, peniaga dan sebagainya. Walau bagaimanapun, setiap orang Mandalorian mampu menghunus senjata dan berjuang apabila diperlukan.

Pakaian perang menjadi identiti dan jatidiri kaum Mandalorian. Baju perisai (armour) ini dipakai oleh setiap orang Mando’ade, baik lelaki mahupun wanita. Kanak-kanak yang telah sampai umur juga akan memakai baju perisai. Pakaian ini dikenali sebagai beskar’gam di dalam Mando’a, bahasa Mandalorian. Beskar’gam bermaksud “kulit besi” dan mempunyai ciri-ciri tertentu yang membezakan ia dengan baju perisai puak-puak lain. Beskar’gam dilengkapkan dengan topi yang dikenali sebagai buy’ce (boo-shay) yang mempunyai pelindung muka (visor) berbentuk “T”. Imej helmet dengan visor “T” ini menjadi satu ikon yang menggerunkan penduduk segenap galaksi. Tiada siapa yang tahu rupa wajah di sebalik buy’ce seseorang Mandalorian, dan ini menjadikan mereka lebih enigmatik dan bermisteri.

Kaum Mandalorian hidup berdasarkan enam prinsip yang dikenali sebagai resol’nare iaitu bajur, beskar’gam, aliit, ara’nov, Mando’a dan Mand’alor. Bajur bermaksud “ilmu” dan setiap orang Mandalorian dididik dengan pelbagai ilmu pengetahuan daripada kecil, khususnya ilmu berkaitan dengan kemandirian dan pertempuran. Beskar’gam, seperti yang telah dijelaskan di atas, merupakan pakaian perisai Mandalorian yang menjadi identiti bangsa ini. Aliit pula bermaksud keluarga atau puak. Nilai-nilai kekeluargaan amat dipentingkan di dalam budaya Mandalorian. Mereka akan mengambil anak angkat daripada golongan anak yatim yang kehilangan ibubapa mereka akibat perang dan memelihara anak ini sebagai anak mereka sendiri. Sesetengah spesies lain hanya akan membunuh anak-anak ini. Aliit ori’sya tal’din – keluarga adalah lebih daripada pertalian darah, merupakan satu cogankata yang amat dipentingkan oleh kaum ini. Ara’nov pula membawa erti “mempertahankan diri” dan konsep ini turut merangkumi keluarga dan budaya, cara hidup serta bahasa Mandalorian itu sendiri. Mando’a merupakan bahasa ibunda kaum Mandalorian dan Mand’alor pula ialah ketua puak-puak (clan) Mandalorian. Mand’alor berperanan sebagai orang yang menyatukan puak-puak Mandalorian, tetapi beliau bukanlah pemerintah mutlak seperti raja atau presiden. Seorang Mand’alor berperanan memastikan warisan Mandalorian tetap diteruskan, dan setiap Mandalorian bertanggungjawab kepada Mand’alor untuk mematuhi arahan beliau ke arah kemandirian kaum Mandalorian.

Kaum Mandalorian telah wujud sekian lama, namun tiada siapa yang tahu asal-usul mereka. Ada yang berpendapat kaum ini diasaskan oleh spesies Taung lebih 10,000 tahun sebelum Pertempuran Yavin yang telah mengorbankan Darth Vader dan Emperor Palpatine. Namun begitu, populasi mereka bertumpu di planet Mandalore dan beberapa buah planet berhampiran di sektor Outer Rim. Populasi mereka kini tersebar luas di serata galaksi. Mereka telah terlibat di dalam Peperangan Sith, dan menjadi kuasa terbesar di galaksi sebelum ditewaskan oleh puak Jedi dalam zaman Old Republic. Kaum Mandalorian hampir pupus ketika Pertempuran Galidraan, dan ini menyebabkan mereka berpecah dan menghilangkan diri untuk berkumpul semula suatu hari nanti.

Jango Fett telah diupah oleh Lord Tyrannus (Count Dookoo) untuk membekalkan bahan genetik bagi membentuk clone troopers yang menjadi tulang belakang Tentera Republik. Mereka telah berjuang untuk menewaskan puak Seperatist ketika Peperangan Klon atau Clone Wars. Bala tentera klon ini sebenarnya telah dilatih oleh 100 orang jurulatih yang dikenali sebagai Cuy’val Dar. Cuy’val Dar telah dilantik sendiri oleh Jango Fett dan 75 orang daripadanya adalah daripada kaum Mandalorian.

Selepas Pertempuran Galidraan, kaum Mandalorian terpaksa berpecah dan bersembunyi, tetapi pada waktu yang sama, mereka membina kekuatan ekonomi dan ketenteraan untuk membangunkan semula Mandalore. 29 tahun selepas Galatic Empire ditewaskan, galaksi sekali lagi digemparkan dengan konflik apabila bangsa Yuuzhan Vong telah muncul daripada galaksi lain untuk memperhambakan semua bentuk kehidupan. Namun begitu, pihak Mandalorian yang pada mulanya bersekutu dengan pihak Vong telah berpaling tadah apabila mendapati pihak Vong berniat untuk memusnahkan mereka. Kaum Mandalorian di bawah pimpinan Boba Fett telah berjaya menewaskan ancaman Vong di Outer Rim dengan taktik peperangan gerila. Pihak Mandalorian mengalami kehilangan yang dianggarkan sehingga 1.5 juta nyawa. Namun begitu, sumbangan mereka di dalam melenyapkan ancaman Yuuzhan Vong tidak diketahui umum. Ini mungkin berpunca daripada pihak Galactic Alliance dan Jedi yang tidak mahu imej mereka tercalar akibat bekerjasana dengan “pengganas”.

Walau bagaimanapun, Mandalore tetap maju dan terus berkembang setelah penemuan logam beskar yang berharga dan pakatan ekonomi mereka dengan kerajaan Verpine di planet Roche. Mereka merupakan pengeluar teknologi termaju di dalam galaksi ini dan terkenal dengan penciptaan pesawat pejuang Torrent V19 untuk Galactic Republic, pejuang B-wing untuk Rebel Alliance dan juga siri senjata ringan yang juga dikenali dengan nama Verpine. Hasil kerjasama ini, pihak Mandalorian telah berjaya menghasilkan pesawat pejuang Bes’uliik tahap 2 yang dilengkapi perisai beskar dan teknologi persenjataan Verpine.
* Artikel ini adalah berdasarkan watak-watak dan peristiwa-peristiwa di dalam alam Star Wars, fiksyen sains karya George Lucas. Semua nama, tempat dan peristiwa adalah rekaan semata-mata dan tiada kaitan dengan yang hidup atau yang mati. Sumber rujukan untuk artikel ini adalah daripada filem, komik dan novel Star Wars, terutamanya daripada penulisan Karen Traviss.